UCAPAN DATUK IBRAHIM ALI PADA SELURUH UMAT PRIBUMI, MELAYU DAN BANGSA YANG LAIN!!!

Sunday, March 22, 2009



UCAPAN YB DATUK IBRAHIM ALI
AHLI PARLIMEN PASIR MAS
MERANGKAP PRESIDEN PERKASA
DI PERHIMPUNAN DAN SIDANG KEMUNCAK
PRIBUMI PERKASA NEGARA
DI DEWAN SERBAGUNA, KOMPLEKS SUKAN TNB
JALAN BANGSAR, KUALA LUMPUR
PADA HARI AHAD 22B MARCH 2009

Salam dan alu-aluan:

Yang Amat Berbahagia dan dikasihi Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia dan tetamu istimewa Perkasa pada hari ini.

Yang Berhormat Tun/Toh Puan, Tan Sri/Puan Sri, Datuk Seri/Datin Seri, Datuk/Datin, Saudara/Saudari tetamu dan warga perjuangan peribumi yang saya hormati.

1. Enampuluh tiga tahun lalu, iaitu pada 1 Mac 1946, berpuluh ribu umat Melayu, termasuk seorang anak muda dari Kedah bernama Che Det atau Mahathir bin Muhamad, telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Mereka berhimpun sambil menjeritkan dua kalimah perjuangan yang keramat, iaitu perkataan: HIDUP MELAYU!

2. Mereka berhimpun kerana pada ketika itu orang Melayu nyaris-nyaris kehilangan tanah air mereka akibat Gagasan Malayan Union. Antara niat jahat penjajah Inggeris menerusi Treaty Mac Michael atau Gagasan Malayan Union itu ialah: memperlekehkan syiar Islam, menurunkan martabat Raja-Raja Melayu, menghapuskan status orang-orang Melayu dan seluruh pribumi sebagai bumiputera di Tanah Melayu, dan memansuhkan adat istiadat serta budaya Melayu.

3. Perhimpunan raksasa itu dianjurkan kerana orang Melayu mahu memperolehi semangat baru bagi menghapuskan Gagasan Malayan Union yang mengganggu-gugat agama Islam, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu, Bangsa Melayu, peribumi dan negara mereka, Tanah Melayu.

4. Oleh sebab itulah Allahyarham Datuk Onn Jaffar yang mengetui perhimpunan itu menyebutkan dalam ucapannya bahawa: hakikat, tujuan dan maksud orang Melayu berhimpun pada hari itu hanya satu. Iaitu, mereka hendak menebus, meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa. Mereka berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita terselamat dan kuat. Dan orang Melayu hanyalah boleh kuat jika kita bersatupadu.

5. Hari ini, 22 Mac 2009, beribu-ribu umat peribumi Malaysia pula berhimpun di Kompleks Sukan TNB, Kuala Lumpur. Perhimpunan ini juga disaksikan dan disertai oleh negarawan Malaysia bertaraf dunia yang bernama Che Det atau Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pada 1 Mac 1946, sama-sama melaungkan jeritan HIDUP MELAYU! Kehadiran Tun Dr Mahathir bersama kita hari ini membuatkan kita semua, kaum peribumi Malaysia, rasa amat terhormat, amat berbangga, amat terhutang budi, dan amat terangsang untuk menegakkan semula perpaduan peribumi Malaysia di saat dan ketika kita sedang dicabar dan tercabar.

6. Seperti kata-kata Tun Dr Mahathir dalam alu-aluannya di buku program kita hari ini. Antara lainnya, kata Tun Dr Mahathir, perhimpunan dan sidang kemuncak Pribumi Perkasa Negara pada hari ini mengingatkan beliau akan perhimpunan-perhimpunan orang Melayu menentang gagasan Malayan Union pada tahun 1946. Kata Tun Dr Mahathir, kita berhimpun kerana kita berasa cemas, seperti cemasnya orang Melayu pada 1945-46. Kata Tun Dr Mahathir, kita berasa cemas kerana sesuatu mungkin akan terlepas dari tangan kita. Dan, sebab itulah kita berasa sesuatu perlu dibuat untuk menyelamatkan diri kita di negara tercinta ini.

7. Saudara-Saudari dan hadirin yang saya muliakan. Kata-kata Tun Dr Mahathir ini amat tepat dan benar. Pada ketika ini, peribumi Malaysia memang berasa cemas. Peribumi Malaysia memang berasa sesuatu mungkin terlepas dari genggaman kita, jika kita tidak bersuara, tidak bertindak, tidak bertegas dan tidak berani untuk menyatakan apa yang menjadi hak kita semua.
8. Saudara-Saudari dan hadirin yang saya muliakan. Hakikatnya, peribumi Malaysia pada hari ini berhimpun di sini, bagi memperkasakan kedudukan dan semangat kita yang sedang dicabar dan tercabar. Kita berhimpun untuk memperkasakan seluruh peruntukan mengenai peribumi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana status peribumi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kini sentiasa dipertikaikan secara konsisten, berterusan, dan serius, sehingga kita semua berasa tercabar dan hilang sabar.

9. Namun begitu, kita tetap memilih langkah perjuangan yang bermaruah, berhemah dan berdisiplin. Kita tidak memilih untuk bertindak dan berjuang di luar skop adat, budaya, susila dan undang-undang. Oleh itu, PERKASA, mengambil kesempatan di sini untuk dengan takzimnya, meluahkan isi hati seluruh peribumi Malaysia terhadap seluruh fenomena yang membuatkan kita rasa tercabar dan berasa hilang sabar.

10. Setelah Malaysia merdeka selama 52 tahun, adalah ironik bila soal-soal peribumi, khususnya soal Islam dan orang Melayu masih terus dijadikan kontroversi dan dijadikan polemik oleh segolongan rakyat Malaysia. Mereka kelihatan sama ada sengaja atau benar-benar terkeliru untuk memahami perkara-perkara asas yang mendasari kelahiran negara-bangsa kita seluruhnya.

11. Oleh itu, sebelum perkembangan seperti ini jadi tidak terkawal, jadi lebih beracun, dan mungkin boleh menjejaskan kesejahteraan warga Malaysia seluruhnya, PERKASA nyatakan di sini bahawa sebelum Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kemudiannya Inggeris semula, menjajah negara bertuah ini beratusan tahun yang lalu, bumi bertuah ini adalah Bumi Melayu. Raja-Raja Melayu adalah kuasa tertinggi pemerintahan pada ketika itu. Rakyat jelatanya adalah kaum peribumi, iaitu orang Melayu dan lain-lain etnik yang secara rasminya dimaktubkan dalan Perlembagaan Persekutuan, sebagai bumiputera.

12. PERKASA berharap jangan sesiapa melupakan atau menafikan hakikat sejarah ini. Bagaimanapun harapan ini bukan berniat untuk mencetuskan sesuatu yang tidak diingini. Sebaliknya, ingatan ini adalah untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku dalam keadaan peribumi kini berasa tercabar dan berasa seolah-olah hilang kesabaran.

13. PERKASA tidak berniat untuk merobah sejarah atau menafikan sejarah. PERKASA tidak akan mengungkit mengapakah pihak penjajah mewujudkan di bumi tercinta ini golongan masyarakat lain, selain peribumi. PERKASA tidak pernah terasa hati dengan tindakan penjajah ini. Inilah kelebihan kita kaum peribumi. Kita bertolak ansur, kita baik hati dan kita tidak berburuk sangka. Tetapi, pantang sekali kaum peribumi dipijak kepalanya. Pantang sekali kaum peribumi dijatuhkan air mukanya. Pantang sekali kaum peribumi diinjak-injak maruahnya. Khususnya orang Melayu dan Agama Islam jangan sekali-kali dipermain-mainkan. Bahasa Melayu jangan disenda-sendakan. Raja-Raja Melayu jangan diperhinakan. Keistimewaan peribumi jangan dipertikaikan.

14. Kaum peribumi, khususnya orang Melayu, sentiasa menghormati seluruh keputusan para pemimpin kita yang mengemudikan bahtera perjuangan kita ke arah kemerdekaan. Kaum peribumi mengakui hakikat bahawa kemerdekaan tanah air ini adalah hasil ledakan dan cetusan suara HIDUP MELAYU pada tahun 1946. Tetapi, kaum peribumi juga insaf ledakan suara HIDUP MELAYU dan nasionalisme Melayu yang digandingi dengan ikataan setiakawan menerusi PERIKATANISME adalah landasan kemerdekaan tanah air ini secara aman dan abadi. Jadi, terimalah hakikat ini, hormatilah hakikat ini, dan janganlah dipertikaikan hakikat ini.

15. PERKASA merayu semua pihak supaya menerima, menghormati dan jangan mempertikaikan hakikat ini kerana itulah semangat yang melandasi kemerdekaan kita, itulah semangat yang mendukung kelahiran Perlembagaan Persekutuan, dan itulah juga semangatnya yang mendasari kemunculan seluruh polisi, program dan blueprint affirmative yang diperjuangkan oleh kerajaan.

16. Mana-mana pihak yang gagal menerima hakikat dan realiti ini hanya akan menyumbang kepada keharmonian, kesejahteraan,keamanan dan keselamatan kita semua mugkin tergugat dan terancam.

17. PERKASA mendesak semua pihak sedar dan insaf bahawa kewujudan keistimewaan peribumi Malaysia masih meletakkan peribumi jauh ketinggalan. Tahap pencapaian ekonomi peribumi masih jauh tercorot di belakang. Tahap pendidikan peribumi masih jauh mundur berbanding dengan bukan peribumi. Tahap kesejahteraan peribumi juga masih jauh dari selesa. Oleh itu PERKASA merayu semoga kerajaan tidak apologetik dalam membela nasib peribumi. Bukan peribumi pula jangan rasa terpinggir kerana seluruh dasar affirmative kerajaan bukannya menafikan kesejahteraan mereka. Sebaliknya, dasar-dasar affirmative ini dicipta secara kreatif supaya tidak dirampas apa yang sudah jadi milik bukan peribumi.

18. Janganlah dipersoalkan isu-isu equality. Tetapi, terimalah hakikat equitability yang wujud hari ini, di mana kaum peribumi masih lagi tertinggal dan serba kekurangan. Tidak usahlah diungkit-ungkit soal keadilan kerana keadilan yang sebenar-benarnya masih belum memihak kepada peribumi yang beratus tahun lamanya ditindas oleh penjajah.

19. PERKASA tidak wujud untuk menentang mana-mana NGO bukan Melayu. PERKASA tidak mahu bergalas dengan mereka, waimah HINDRAF, waimah badan-badan pendidikan Cina, waimah sesiapa jua. PERKASA wujud untuk memperkasakan hak-hak dan kedudukan peribumi menerusi jalan yang tidak berkonfronftasi. PERKASA tidak akan mendukung aliran perjuangan PERIBUMISE MALAYSIA seperti sesetengah pihak mendukung aliran perjuangan MALAYSIAN-MALAYSIA.

20. Oleh sebab itulah perhimpunan PERKASA pada hari ini bukan untuk menyusun demonstrasi atau lain-lainnya. Sebaliknya, perhimpunan hari ini mengundang Tun Dr Mahathir untuk memandu perjuangan kita menerusi ucapan perdana beliau yang berjodol Menangani Masa Depan Pribumi Dalam Cabaran Politik Semasa. Oleh sebab itulah juga perhimpunan pada hari ini mengundang para pemikir peribumi dan Melayu daripada Persatuan Peguam Muslim, United Sabah Bajau Organisation, perkumpulan silat, Gabungan Penulis Nasional, wakil ahli akademik, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Sarawak Dayak Iban Association, Belia 4B, peguam terkemuka, dan tokoh ilmuan Islam. Mereka kita undang khas untuk menggariskan arah perjuangan PERKASA demi memperkasakan peribumi dan Perlembagaan Persekutuan yang memayungi dan melindungi mereka, peribumi dan bukan peribumi seluruhnya.

21. Di akhir perhimpunan ini PERKASA akan mengeluarkan satu deklarasi mengenai apa yang perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memperkasakan dan mermartabatkan peribumi di Malaysia. Dengan kata-kata ini, dengan ucapan syukur kepada Allah SWT, PERKASA mengucapkan jutaan terima kasih kepada YABhg. Tun Dr Mahathir, para tetamu kehormat, pembentang kertas kerja, hadirin yang dimuliakan serta para pendukung PERKASA yang bekerja keras menjayakan majlis ini. PERKASA juga menghargai kejasama pihak media, PDRM dan TNB atas kerjasama yang diberikan kepada kita.

IHSAN BIGDOTCOM


BANGSA MELAYU BUKAN PENDATANG
SEBALIKNYA BANGSA LAIN
YANG TINGGAL
DI TANAH MELAYU INI
ADALAH TERDIRI DARI PENDATANG


KITA MENYATAKAN YANG HAK
BUKAN KITA BERSIFAT RACIST
JANGAN DI CABAR
SEMANGAT MELAYU INI
JANGAN CUBA BERMAIN API
KELAK BURUK PADAHNYA
PRIBUMI BERTINDAK DEMI NEGARA

Read more...

SEKITAR PERHIMPUNAN PRIBUMI PERKASA NEGARA



















SEKITAR PERSIDANGAN PERHIMPUNAN
PRIBUMI PERKASA NEGARA

PADA 22/03/2009 AHAD
BERTEMPAT DI DEWAN SERBAGUNA,
KOMPLEKS SUKAN TNB,
JALAN BANGSAR,KUALA LUMPUR
*ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN
*BAHASA MELAYU BAHASA KEBANGSAAN
*KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU
*HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU:PASAL 153

BERSATU TEGUH
BERCERAI ROBOH
PRIBUMI PANTANG
DI CABAR

Read more...

Snipet

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP