Tiga kem Buddha di Rakhine dikenalpasti sebagai penerima Misi Bantuan Kemanusiaan Myanmar yang dikelolakan oleh Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) di sini.
Menurut Pengurus Operasi KP1M, Nasir Khan Abdul Rahman segala perancangan telah disusunatur dalam memastikan pengagihan barangan bantuan berjalan lancar sampai di tiga kem penempatan sementara tersebut.
Beliau berkata tiga kem yang dimaksudkan adalah Kem Ywar Gyi Myaur, Kem Min gan serta Kem Danyawaddy Football Ground, yang dianggarkan mempunyai 2,000 orang penduduk beragama buddha.
Mengikut perancangan, sebaik sahaja kapal wap MV Shwe Thu Wan tiba pada Isnin, 8 Oktober, pengagihan dilakukan dengan menggunakan dua sistem dimana 50 peratus barangan akan dibawa terus ke kem dan selebihnya akan dimasukkan ke dalam gudang untuk dibungkus semula.