Sidang Dewan Rakyat Gamat Apabila Ahli Parlimen Ampang,Zuraida Kamaruddin Cuba Mencelah Perbahasan Ahli Parlimen Tenggara,Datuk Halimah Mohd Sadique Mengenai Bajet 2013 Tentang Isu Wanita Dan Kanak-Kanak
Isu yang membabitkan penutupan Kedutaan Malaysia di Qatar kerana lawatan rasmi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah mendapat kenyataan balas daripada Yang Terutama Ahmad Jazri Mohd. Johar, Duta Malaysia di Qatar.
Menurut Ahmad Jazri, kenyataan tersebut (pejabat ditutup) adalah benar tetapi operasi perkhidmatan tetap berjalan seperti biasa dan lokasi dipindahkan ke bilik sekretariat yang terletak di Hotel St. Regis berhampiran pejabat kedutaan.
"Memang benar pejabat Kedutaan Malaysia ditutup, tetapi kami masih menjalankan operasi seperti biasa. Mereka (rakyat Malaysia) boleh menghubungi kami jika mereka menghadapi kesulitan dan kami akan membantu.
"Kami perlu meneruskan operasi di bilik sekretariat yang terletak di Hotel St. Regis kerana faktor kekurangan pegawai. Hanya tiga pegawai sahaja yang boleh mengesahkan dokumen rakyat Malaysia di sini. Jika kami tidak berbuat demikian (tutup pejabat), pegawai kami akan 'terkejar-kejar' untuk menguruskan pelbagai hal," katanya kepada KLPOS ketika ditemui di Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas diminta memberi penjelasan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah 'online media' yang menyatakan bahawa Kedutaan Malaysia di Doha ditutup kepada orang ramai selama tiga hari ekoran lawatan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke negara itu.
Tambah Ahmad Jazri, notis pekeliling telah dikeluarkan oleh pejabat kedutaan itu menerusi Persatuan Malaysia Qatar (MAQ) serta turut digantung di hadapan pintu pejabat kedutaan sebagai makluman kepada rakyat Malaysia yang ingin berurusan dengan pegawai kedutaan.