Laporan Audit Negara Dimanipulasikan Pembangkang

Wednesday, October 17, 2012



Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini membidas beberapa pemimpin pembangkang yang dilihat cuba untuk mempolitikkan laporan yang dibentangkan oleh Jabatan Audit Negara.

Ahmad Shabery menyifatkan, tindakan pemimpin pembangkang itu sebagai cara untuk 'menembak' pihak kerajaan dengan menggunakan laporan audit sebagai asas.

" Pakatan Rakyat perlu akui mereka sebenarnya tidak mampu untuk mentadbir negeri sebaik kerajaan Persekutuan yang ada masa ini.

"Mereka (pembangkang) seharusnya menjawab segala isu yang masih belum diperjelaskan di setiap negeri dibawah pentadbiran mereka (Pakatan Rakyat) seperti isu berhubung Universiti Selangor (UNISEL), keadaan hutang yang semakin bertambah dan lain-lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta memberi reaksi mengenai Laporan Audit Negara 2011 yang telah dibentangkan oleh Jabatan Audit Negara, semalam.

Tambah Ahmad Shabery, beliau berpuas hati dengan prestasi yang telah dicapai oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan berharap agar pencapaian itu dapat terus dikekalkan.

"(Walaupun mendapat keputusan prestasi yang baik) namun, ia bukan sesuatu pencapaian yang perlu dipandang ringan. Saya berharap pencapaian itu akan terus dikekalkan bahkan menerima peningkatan yang baik dari setiap aspek dan sudut.

"Satu amalan dan budaya kerja bukan sahaja diperingkat kementerian pusat tetapi juga diperingkat negeri dan akar umbi," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pujian harus diberikan kepada Jabatan Audit Negara kerana telah berjaya memperbaiki beberapa kelemahan.

"Jabatan Audit Negara merupakan satu badan yang bergerak secara bebas. Banyak kelemahan audit lepas yang diperbaiki dan ia seharusnya dipandang positif," katanya.

Semalam, beberapa kementerian telah diumumkan telah berjaya mendapat pencapaian yang meningkat dan banyak kelemahan pada laporan pada tahun lepas telah diperbaiki.


Read more...

Snipet

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP