Nazri Aziz Cadang Jawatankuasa Khas Bincang Laporan SUHAKAM.

Tuesday, October 23, 2012



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mencadangkan jawatankuasa khas tetap ditubuhkan bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai hak asasi manusia.

Beliau berkata dengan adanya jawatankuasa itu, perkara berkaitan hak asasi manusia dalam laporan Suhakam akan dapat diperjuang secara berterusan dan tidak hanya memperuntuk satu hari sahaja untuk membahaskan perkara itu di Parlimen.

"Isu hak asasi manusia ini satu isu yang penting. Saya tidak fikir kita boleh ketepikan satu hari untuk bincangkan laporan sahaja, kemudian apa? Mereka (Suhakam) telah menjalankan kerja dan dalam masa satu tahun telah membuat laporan tebal dan hanya dibentangkan, dan itu tidak adil untuk mereka (Suhakam)," katanya ketika menjawab soalan tambahan M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran ingin tahu apa yang boleh dilakukan untuk memberi lebih makna kepada Suhakam serta laporan yang dibuat berhubung perkara hak asasi manusia.

Mohamed Nazri berkata seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), jawatankuasa khas tetap mengenai hak asasi manusia itu akan dianggotai beberapa anggota Parlimen dan boleh mengadakan persidangan serentak atau di luar persidangan Dewan Rakyat.

"Itu (Jawatankuasa Khas Tetap) lebih bermakna daripada hanya menghebahkannya. Kita bukan berminat untuk menghebahkan sahaja tapi menangani masalah hak asasi manusia dalam negara kita, dan ia boleh dilakukan dengan penubuhan sebuah jawatankuasa tetap," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata kerajaan bersedia menerima cadangan dan kritikan yang membina daripada Suhakam sekiranya ia mempunyai asas untuk kerajaan menghentikan atau meneruskan sesuatu tindakan.

"Kerajaan tidak berhajat untuk mengongkong pesuruhjaya kerana kita telah berjanji bahawa mereka (Suhakam) diberikan kebebasan menjalankan tugas mereka," jelasnya.

Beliau berkata kerajaan telah memberikan perlindungan mencukupi di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia supaya Suhakam dapat menjalankan tugas dengan baik.

Peruntukan itu menyatakan dengan jelas memberikan perlindungan kepada suruhanjaya dan anggotanya daripada sebarang tindakan mahkamah yang melibatkan prosiding sivil atau jenayah pada ketika mereka menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai anggota suruhanjaya, katanya.

Selain itu, Suhakam juga telah diberikan penarafan 'A' oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia di Geneva, kerana tidak menyekat peranan untuk menyiasat dengan sepenuhnya dan mengeluarkan kenyataan yang boleh dikatakan sebagai menegur kerajaan.

-KLPOS

Read more...

Isu Rapid - Azalina Kemuka Fail Saman Tuduhan Fitnah Mazlan



Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman akan mengemukakan fail saman kepada Pengerusi  Persatuan Anak peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman pada minggu ini berhubung tuduhan berbau fitnah yang dilemparkan oleh Mazlan.

Menurut Azalina, peguamnya sudah menyediakan surat tuntutan kepada Mazlan untuk memberikan penjelasan mengenai ucapan beliau berbau fitnah yang dilemparkan kepada rakyat yang hadir ketika perhimpunan Hijau lepas.

“Saya telah dimaklumkan (oleh peguam) bahawa surat tuntutan akan diserahkan kepada Mazlan dalam minggu ini dan saya akan beri dia untuk masa untuk memberi keterangan.

"Kemudian (selepas membuat keterangan), saya akan buat tindakan susulan” katanya kepada pemberita di sidang media di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Azalina sebelum ini mendesak Mazlan Aliman membuat permohonan maaf secara terbuka atas keterlanjuran beliau mengaitkan nama bekas Menteri Pelancongan itu dengan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Mazlan membuat pertuduhan tersebut dalam ucapannya pada demonstrasi berkaitan projek berkenaan yang dianjurkan oleh Himpunan Hijau dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan Parlimen Pengerang.

Tambah Azalina, beliau turut memberi 'ruang' kepada Pengerusi ANAK itu meminta maaf secara terbuka kepadanya.

“Saya akan failkan saman terhadapnya (Mazlan) kecuali jika dia meminta maaf kepada saya secara terbuka atas kenyataan yang beliau buat semasa Perhimpunan Hijau lepas.

“Itu adalah syarat saya. Jika tidak, saya akan membuat tindakan saman di makhamah," ujarnya.

Sementara itu, beliau juga yakin bahawa dokumen yang dimiliki oleh Mazlan adalah dokumen yang dirangka sendiri oleh Pengerusi ANAK itu bagi menjatuhkan beliau sebagai Ahli Parlimen Pengerang.

Beliau turut memberi reaksi apabila ditanya mengenai kenyataan Mazlan yang tidak gentar dengan saman yang bakal diberikan kepada nya.

"Kenyataan beliau sungguh angkuh," katanya.

Pada ucapan Mazlan di Perhimpunan Hijau lalu, beliau dikatakan membuat tuduhan terhadap Azalina yang kononnya beliau adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap isu projek RAPID dan mempengaruhi Perdana Menteri untuk memilih Pengerang sebagai lokasi bagi membangunkan projek RAPID atas alasan Barisan Nasional mempunyai kubu yang terkuat di Pengerang.


Read more...

Snipet

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP